PONTIAN – Barisan Nasional (BN) Johor akan menghantar seramai 202 petugas bagi membantu jentera BN Melaka menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 14 November depan.
Timbalan Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, petugas berkenaan terdiri daripada jentera pilihan raya UMNO bahagian, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO, MCA, MIC, Friends Of serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Johor.
“UMNO Johor mengadakan penyelarasan awal bersama UMNO Bahagian Jasin pada 26 September lalu, manakala MCA dan MIC Johor turut menyelaras gerak kerja dengan bahagian masing-masing di Jasin.
“Perjumpaan khas antara BN Johor dengan jentera BN Jasin dijangka diadakan pada 30 Oktober ini bagi memperkemas persiapan menghadapi pilihan raya berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (MJTP) Pontian di Bilik Gerakan Pejabat Daerah Pontian di sini hari ini.









