KOTA BHARU: Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, mengesahkan tidak akan berlaku pertembungan antara calon mewakili parti itu dan Barisan nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua ahli PN untuk menyokong BN, manakala ahli BN pula dirayu memberikan sokongan kepada PN sepanjang pilihan raya itu.

Tegas beliau, kerjasama antara kedua-dua gabungan itu dicetuskan kepemimpinan PAS di peringkat pusat dan mendapat kelulusan Majlis Syura Ulama parti berkenaan.

"Ahli kita sentiasa patuh dan taat setia kepada kepemimpinan. Mereka bersama kita dan yakin dengan kerjasama ini kerana ia dicetuskan oleh kepemimpinan PAS di peringkat pusat serta diluluskan oleh Majlis Syura Ulama," katanya ketika dihubungi.