Johor Bahru: "Kami tidak terfikir lagi soal sambut Deepavali yang hanya tinggal kira-kira dua minggu lagi kerana perlu mengumpul dana sejumlah RM9,000 bagi membolehkan saya menjalani pembedahan memasang tapak dialisis yang rosak buat kali ketiga," kata pesakit buah pinggang, M Poomale, 52.

Bapa kepada empat cahaya mata itu berkata, dia tidak sangka tapak dialisis atau AV fistula yang dipasang tiga tahun lalu kembali rosak hingga ia mengundang pelbagai kesulitan.

Beliau berkata, bagi meneruskan rawatan dialisis, tapak dialisis sementara di pasang di bahagian leher di Hospital Sultan Ismail (HSI) namun dia dinasihatkan untuk menjalani pembedahan tapak baharu di pusat perubatan swasta dalam tempoh terdekat.