PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) kembali menumpukan fokus menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonannya menggantung pelaksanaan tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan tersebut mengukuhkan pendirian PN bahawa gabungan berkenaan berada pada landasan yang benar dalam mempertahankan haknya.
“Pendirian PN jelas. Kita berada pada landasan yang benar dalam mempertahankan hak melalui saluran undang-undang. Usaha pihak yang mahu memadamkan PN tidak akan mematahkan tekad kita. PN tetap teguh dan perjuangan ini akan diteruskan.
“Terima kasih kepada semua atas doa, sokongan dan kesabaran, serta pasukan peguam atas usaha gigih mereka. Kita terus menghormati proses undang-undang yang berjalan dan akan mempertahankan hak kita dengan tegas,” katanya dalam kenyataan hari ini.










