KUALA LUMPUR: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri R. Ramanan mencabar bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli mengemukakan bukti berhubung dakwaan dirinya menerima suapan RM9.5 juta daripada seorang ahli perniagaan dalam isu mafia korporat.

Ramanan berkata, dakwaan itu sudah berlarutan antara enam hingga tujuh bulan, lantas menimbulkan persoalan tentang bukti yang dikatakan dipegang oleh Mohd. Rafizi.

Menurutnya, Mohd. Rafizi sepatutnya mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaanya dan bukannya terus membangkitkan isu sama tanpa bukti.

“Mana bukti dia? Tujuh bulan sudah. Enam bulan atau tujuh bulan saya pun dah lupa dah. Dia cakap ada bukti, ada bukti, ada bukti. Satu kertas bukti ada tak? Mana bukti dia?,” katanya ketika ditemui pada Majlis Apresiasi Perkhidmatan Warga Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) di sini, hari ini.