KUALA LUMPUR: KEB Bhd menyasarkan untuk mengumpul RM48.49 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd pada harga 35 sen sesaham.

Menerusi penyenaraian pada 16 November ini, syarikat pemaju hartanah itu akan menerbitkan 138.54 juta saham baharu bagi kewangan serta menyokong rancangan pembangunan dan pertumbuhan masa depannya.

Pengarah Urusan KEB, Datuk Lim Kim Chong, berkata pelancaran prospektus itu menandakan pencapaian penting dalam perkembangan korporat kumpulan berkenaan.

"Selama bertahun-tahun, kami telah membina perniagaan pembangunan hartanah berdasarkan gabungan pengalaman pembangunan, pelaksanaan yang berdisiplin dan tumpuan kepada penyampaian projek yang memenuhi permintaan pasaran," katanya pada majlis pelancaran prospektus di sini, hari ini.