Kuala Lumpur: Pemain warisan dari Fiji dan Amerika Syarikat (AS) kini dalam radar Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) bagi memperkukuh skuad Bunga Raya, sekali gus membuka kemungkinan kehadiran tenaga baharu dalam misi negara memburu kejayaan di pentas antarabangsa.

Timbalan Presiden KRM, Mohd Azmir Zainul Abidin, berkata pihaknya terbuka untuk memilih pemain yang memenuhi syarat bagi mewakili negara, dengan beberapa calon sudah dikenal pasti dan berada dalam pertimbangan ketua jurulatih.

Beliau berkata, pemain-pemain berkenaan dikenal pasti mempunyai pertalian keturunan campuran dan turut dipertimbangkan berdasarkan latar belakang keturunannya.

"Pasukan kita memang terbuka untuk memilih pemain yang layak bermain. Ada beberapa pemain yang sedang dalam pertimbangan dan sudah berhubung dengan ketua jurulatih. Apabila ada pengesahan lanjut, insya-Allah kita akan umumkan," katanya dalam sidang media majlis undian Kejohanan Ragbi 7 Sebelah (7s) Kebangsaan 2026.