Kuala Lumpur: Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) digesa memperkasa kompetensi serta kemahiran insaniah bagi memastikan peranan pegawai terbabit memberi impak dan menjadi nilai tambah di kementerian serta agensi yang ditempatkan.
Pengarah Kanan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata, pegawai integriti tidak boleh sekadar bergantung kepada pengetahuan asas, sebaliknya perlu menguasai selok-belok operasi agensi, memahami profil risiko dan ancaman rasuah serta memiliki kemahiran komunikasi termasuk penyampaian yang berkesan.
"Kehadiran pegawai CeIO di agensi perlu dirasai melalui keupayaan menjadi rakan strategik kepada pihak pengurusan.
"Pegawai integriti bukan sahaja perlu memahami dasar dan prosedur, tetapi berani menyuarakan kebenaran, bijaksana membuat keputusan serta tegas mempertahankan prinsip apabila berdepan dengan tekanan,"katanya.









