Kuala Lumpur: Peguam dari Malaysia, Joanne Vengadesan melakar sejarah tersendiri apabila dipilih sebagai pengerusi terpilih Multilaw, rangkaian firma guaman terkemuka dunia yang mempunyai 300 pejabat di lebih 100 negara.
Pengamal undang-undang yang berpangkalan di United Kingdom itu mempunyai pengalaman selama 25 tahun dalam bidang perundangan, dan pelantikan beliau diumumkan pada Persidangan Global Multilaw di Prague awal bulan ini.
Joanne akan menyandang jawatan itu untuk tempoh dua tahun bermula Sept 2027 bagi menggantikan peguam Australia Paul Kirton.
Beliau memulakan kerjayanya selepas diterima masuk ke Badan Peguam Malaysia sebagai peguam bela dan peguam cara pada 1997, dengan pengkhususan dalam undang-undang harta intelek di Kuala Lumpur.









