KUALA LUMPUR: Pendakwah bebas, Ustaz Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz, menafikan dakwaan syarikatnya, Nunha, menawarkan tiket wayang sebagai ganti bayaran balik kepada pembeli susulan pembatalan acara keagamaan yang dijadualkan berlangsung esok.

Sebaliknya, PU Riz menegaskan pihaknya komited menyelesaikan aduan pelanggan, termasuk memproses bayaran balik kepada pembeli yang layak secara telus dan bertanggungjawab.

Beliau menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai sesuatu yang dikesali kerana berpotensi menimbulkan persepsi negatif terhadap syarikat dan jenama Nunha, sedangkan pihaknya sentiasa terbuka untuk menangani isu yang dibangkitkan pelanggan.

"Pertama sekali, saya ingin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa tiket wayang ditawarkan sebagai ganti bayaran balik. Dakwaan sedemikian amat dikesali dan tidak sepatutnya dibuat tanpa mengambil kira fakta serta penjelasan daripada pihak kami," katanya menerusi kenyataan media.