PETALING JAYA: Pendakwah selebriti dan usahawan, PU Riz, tampil menafikan dakwaan kononnya menawarkan pemberian tiket wayang sebagai ganti kepada bayaran balik (refund) tiket penyertaan bagi sebuah program keagamaan yang dibatalkan baru-baru ini.

Menurut PU Riz atau Muhammad Haris Mohd Ismail, penyebaran maklumat yang tidak tepat itu telah menimbulkan persepsi negatif terhadap reputasi perniagaannya.

“Pertama sekali, saya ingin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa tiket wayang diganti sebagai bayaran balik.

“Dakwaan sedemikian amat dikesali dan tidak sepatutnya dibuat tanpa mengambil kira fakta serta penjelasan daripada pihak kami,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.