Johor Bahru: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menegaskan ia tidak menawarkan sebarang program Sarjana Profesional, Sarjana Muda Profesional atau Diploma Profesional tanpa mendapat akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Dalam satu kenyataan rasmi hari ini, ia memaklumkan universiti berkenaan sentiasa memastikan penawaran program akademik rasmi adalah mematuhi piawaian jaminan kualiti dan keperluan akreditasi yang ditetapkan oleh MQA.

"Ketetapan ini merangkumi semua fakulti, pusat, institut dan entiti berkaitan UTM, termasuk UTMSPACE, UTMSPACE Services, Institut Sultan Iskandar dan Kolej SPACE," katanya dalam kenyataan berkenaan.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan penyebaran iklan atau tawaran program pengajian yang menggunakan nama atau logo universiti itu sehingga boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat, khususnya mengenai kesahihan penawaran dan status akreditasi program berkenaan.