PETALING JAYA: Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menzahirkan kebimbangan terhadap isu kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak dan remaja yang semakin meruncing sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa.

Menurut hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, keprihatinan Seri Paduka Baginda terhadap kesejahteraan mental dan emosi generasi muda mendorong Istana Negara mengadakan sesi perbincangan bagi meneliti inisiatif pembangunan serta pemerkasaan sistem aduan dan kaunseling.

Inisiatif itu bertujuan membantu golongan remaja yang berdepan tekanan emosi, masalah kesihatan mental dan pelbagai cabaran kehidupan.

Sesi perbincangan berkenaan diketuai Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini dengan penglibatan beberapa agensi kerajaan termasuk Kementerian Pendidikan (KPM); Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM); Kementerian Komunikasi; Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).