PETALING JAYA: Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) merancang menerbitkan sukuk bernilai RM11.64 bilion bagi memenuhi keperluan perbelanjaan modal dalam tempoh 10 tahun akan datang, ketika syarikat itu mempunyai projek infrastruktur air bernilai kira-kira RM14.97 bilion.

Menurut PAAB, projek berjumlah kira-kira RM1.6 bilion sedang dalam pembinaan, manakala projek bernilai RM13.4 bilion lagi berada pada peringkat reka bentuk dan tender, selain projek yang akan dilaksanakan pada masa hadapan.

Program nota jangka sederhana Islam (IMTN) yang dicadangkan itu dijangka memperkukuh keupayaan pembiayaan jangka panjang PAAB bagi menyokong pembangunan dan penambahbaikan infrastruktur air negara, termasuk pengurusan bekalan air dan air sisa.