Kuala Lumpur: Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menzahirkan kebimbangan terhadap isu kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak dan remaja yang dilihat semakin meruncing sehingga menyebabkan berlaku kehilangan nyawa.
Menurut hantaran Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, keprihatinan Seri Paduka Baginda terhadap kesejahteraan mental dan emosi generasi muda mendorong Istana Negara mengambil langkah proaktif dengan mengadakan sesi perbincangan bagi meneliti inisiatif berkaitan pembangunan serta pemerkasaan sistem aduan dan kaunseling.
Inisiatif itu khusus bagi membantu golongan remaja yang berhadapan tekanan emosi, masalah kesihatan mental dan pelbagai cabaran kehidupan.









