JOHOR BAHRU – Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menitahkan agar kerajaan, sektor swasta dan komuniti setempat mengambil tindakan proaktif serta kolektif bagi menangani impak jerebu terhadap pelajar dan keluarga secara menyeluruh.
Baginda bertitah, usaha bersepadu itu amat penting bukan sahaja untuk mendepani kesan fizikal, malah merangkumi aspek sokongan psikologi pelajar yang terjejas akibat krisis pencemaran udara.
“Tindakan kolektif terutamanya daripada pihak kerajaan dan sektor swasta bagi merancang langkah proaktif diperlukan bagi menangani kesan fizikal serta psikologi jerebu terhadap pelajar dan keluarga.
“Di samping itu, kerjasama erat daripada komuniti setempat amat diperlukan untuk memperkasa pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) agar lebih berkesan.










