Kuala Lumpur: Kakitangan Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah, Negeri Sembilan, memberi penghormatan akhir kepada jenazah imam muda Masjid Bandar Baharu Serting, Mohammad Syazwan Mahadi, 28, bagi mengenang jasanya, menerusi 'Honor Walk', pagi tadi.
Ia sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan dan jasa Allahyarham yang terus memberi harapan kepada insan lain menerusi pendermaan organ.
Menerusi klip video yang tular di Facebook pada hari ini, warga hospital berkenaan dilihat berbaris mengiringi perjalanan jenazah Allahyarham sebagai penghormatan terakhir.
Video berdurasi 41 saat itu turut memaparkan beberapa kakitangan menolak katil yang membawa jenazah Allahyarham, melalui laluan yang diiringi warga hospital sebelum memasuki sebuah ruang.









