KUALA PILAH – Suasana hiba menyelubungi Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), di sini, pagi ini, apabila warga hospital mengadakan ‘Honor Walk’ sebagai penghormatan terakhir kepada imam muda Masjid Bandar Baharu Serting, Mohammad Syazwan Mahadi, 28.

Penghormatan itu diberikan sebagai tanda menghargai pengorbanan Allahyarham yang terus menyemai harapan kepada insan lain menerusi pendermaan organ selepas pemergiannya.

Menerusi hantaran yang tular di Facebook setempat, warga hospital dilihat mengiringi perjalanan terakhir Allahyarham yang juga penghantar barangan.

Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi positif daripada orang ramai yang rata-ratanya menyifatkan Allahyarham sebagai seorang insan berhati mulia kerana masih mampu memberi manfaat kepada orang lain meskipun sudah tiada.