Shah Alam: Seorang ahli perniagaan yang pada asalnya dituduh membunuh dua remaja dalam kemalangan di Lebuhraya Persekutuan pada 2021, dihukum penjara sembilan tahun hari ini, selepas mengaku salah atas pertuduhan pindaan menyebabkan kematian mangsa.
Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun ke atas K Devaaswin, 29, bagi setiap pertuduhan, dengan kedua-dua hukuman berjalan serentak dari tarikh penangkapannya pada 17 September 2021.
Tertuduh turut didenda RM30,000 bagi setiap pertuduhan dan boleh dipenjara setahun, jika gagal membayar setiap denda berkenaan.
Devaaswin didakwa atas dua pertuduhan membunuh Muhammad Hafiz Syamir Dzul Asri, 19, dan Nur Afiqah Abdul Karim, 18, di Kilometer 8.6 Lebuhraya Persekutuan menghala ke Kuala Lumpur dari Klang, pada 1.50 pagi, 12 September 2021.








