KUALA KRAI - Seorang pemandu treler mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas dua pertuduhan, termasuk memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang wanita serta memiliki cecair yang disyaki mengandungi mitragynine.Tertuduh, Wan Baderun Shah Wan Said, 48, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memandu sebuah treler secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Nur Hidayah Mat Yacob, 27, di Kilometer 4.7 Jalan Machang-Tanah Merah, Machang, pada jam 10.25 malam, 19 Oktober lalu.Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan berkenaan.Peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Farazalila Fauzi yang mewakili tertuduh merayu supaya jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya hanya menerima upah RM70 untuk satu perjalanan sebagai pemandu treler selain perlu menyara isteri dan tiga anak.Mahkamah turut memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai.Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki empat bungkusan plastik lutsinar berisi cecair berwarna keperangan dengan anggaran isipadu kasar empat liter yang disyaki mengandungi racun jenis mitragynine, tanpa kebenaran sah.Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kilometer 41, tepi Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, Kampung Kweng Hitam, Machang, kira-kira jam 10.45 malam pada 19 Oktober lalu.Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 30(5) akta sama, yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.Bagi pertuduhan itu, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.Tertuduh membayar kedua-dua jaminan yang ditetapkan mahkamah.Pendakwaan dikendalikan Muhammad Nadzir Abdullah, manakala kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 7 November ini.
Pemandu treler didakwa pandu berbahaya hingga sebabkan kematian wanita

Key points
- KUALA KRAI - Seorang pemandu treler mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas dua pertuduhan, termasuk memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang wanita serta memiliki cecair yang disyaki mengandungi mitragynine.
- Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memandu sebuah treler secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Nur Hidayah Mat Yacob, 27, di Kilometer 4.7 Jalan Machang-Tanah Merah, Machang, pada jam 10.25 malam, 19 Oktober lalu.
- Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan berkenaan.
Sentences selected automatically from the original article by Sinar Harian.
Also reported by Berita Harian , Harian Metro , Berita Harian
Story details
- Published
- By
- HAZELEN LIANA KAMARUDIN
- Section
- BERITA
- Language
- Malay (Malaysia)
- Format
- Article
- Original
- sinarharian.com.my ↗
Related reporting
6 stories on this topic from 5 sources, oldest first.
- Utusan Malaysia Pemandu tidak mengaku pandu berbahaya langgar Asiah
- Sinar Harian Pemandu treler didakwa pandu berbahaya hingga sebabkan kematian wanita (this story)









