KUALA LUMPUR: Kerajaan Nepal bersetuju memendekkan tempoh pengeluaran sijil kehilangan atau kematian mangsa bencana yang belum ditemukan daripada 12 tahun kepada 45 hari menerusi perintah eksekutif atau ordinan khas.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, persetujuan itu dicapai susulan permohonan kerajaan Malaysia kepada Perdana Menteri Nepal bagi mempercepatkan urusan dokumentasi membabitkan mangsa yang masih hilang dalam tragedi di daerah Rasuwa, Nepal pada 26 Ogos lalu.

Beliau berkata, kerajaan Malaysia kini memantau kandungan perintah eksekutif berkenaan bagi memastikan pelaksanaannya dapat membantu keluarga mangsa yang memerlukan dokumen rasmi untuk menguruskan pelbagai urusan, termasuk tuntutan insurans dan perbankan.