Kuala Lumpur: Saman sivil terhadap Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berhubung dakwaan mencederakan dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, akan difailkan dalam tempoh tujuh hari di Mahkamah Sesyen Sepang.
Peguam yang mewakili kedua-dua anggota polis itu, Kamal Hisham Ja'affar berkata, draf saman berkenaan sedang dimuktamadkan sebelum difailkan di mahkamah.
"Saman sivil ini hanya akan difailkan terhadap Mohd Shuhaily secara peribadi dan tidak membabitkan kerajaan Malaysia sebagai defendan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, jumlah tuntutan ganti rugi bagi setiap anggota polis masih belum dapat ditentukan kerana pihaknya sedang menunggu laporan perubatan.









