KUALA LUMPUR: Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Kenneth Jonassen kekal tenang dalam menghadapi kemerosotan prestasi barisan pemain perseorangan lelaki negara dan tidak mahu terburu-buru membuat sebarang keputusan.

Sebaliknya, jurulatih dari Denmark itu memilih untuk menilai secara menyeluruh prestasi serta perkembangan anak buahnya sebelum beberapa perubahan dan keputusan penting dibuat menjelang penghujung tahun ini.

Perseorangan lelaki negara ketika ini berdepan cabaran selepas beberapa keputusan kurang memberangsangkan, dengan Leong Jun Hao tersingkir seawal pusingan pertama di Terbuka Denmark dan terbaru di Terbuka Perancis.

Kenneth berkata, beliau enggan menjadikan kecemerlangan skuad beregu sebagai tekanan terhadap barisan perseorangan, sebaliknya memilih untuk kekal positif dalam usaha memperbaiki prestasi pemainnya.