Langkawi : Pernah menjulang trofi Pelakon Harapan Wanita di Festival Filem Malaysia ke-20, pelakon dan model terkenal, Natasha Hudson, kini mengukir kebahagiaan baharu menerusi seni pembuatan seramik yang kian sebati dengan jiwanya di pulau peranginan ini.
Natasha, 44, yang terkenal menerusi lakonannya dalam filem Chermin dan Lemak Kampung Santan, kini menguruskan studio seramik miliknya sendiri, The Ginger Vessel yang terletak di Kampung Padang Puteh, Mukim Kedawang.
Menurut Natasha, ilham reka bentuk seramik yang dihasilkannya banyak diinspirasikan daripada keunikan hidupan marin sekitar perairan Langkawi seperti siput, ikan dan ketam.
"Langkawi dikelilingi laut. Setiap hari saya melihat pelbagai hidupan marin dan semuanya tersimpan dalam memori sebelum diterjemahkan kepada rekaan seramik.









