LANGKAWI: Dunia lakonan dan peragaan pernah mewarnai perjalanan seni Natasha Hudson, namun, pelakon berusia 44 tahun itu kini menemukan kebahagiaan baharu menerusi seni seramik yang semakin sebati dengan kehidupannya.
Memilih Langkawi sebagai lokasi mengembangkan bakat, pelakon filem Chermin itu menghasilkan pelbagai produk seramik berilhamkan hidupan marin yang menjadi sebahagian daripada keunikan pulau peranginan berkenaan.
Bagi Natasha, tanah liat bukan sekadar bahan untuk menghasilkan barangan hiasan, sebaliknya, menjadi medium menzahirkan kreativiti, perasaan dan pengalaman hidup yang diterjemahkan menerusi setiap rekaan.
Malah, pelbagai hidupan laut seperti siput, ikan dan ketam yang ditemui di sekitar pulau itu turut menjadi sumber ilham dalam menghasilkan karya tersendiri.








