LANGKAWI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot nelayan tempatan bersama tiga warga Thailand selepas disyaki melanggar syarat lesen menangkap ikan.

Bot berkenaan ditahan kira-kira jam 4.40 petang semalam pada kedudukan 11.8 batu nautika barat daya Tanjung Belua, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM500,000.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Kedah/Perlis, Kapten Maritim Mohamad Shukri Khotob, berkata, bot berkenaan dikesan ketika melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan itu.

Katanya, pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan seorang tekong bersama dua kru warga Thailand berusia antara 29 hingga 52 tahun.