KUALA LUMPUR: Seorang pelaku ancaman mendakwa menjual pangkalan data yang mengandungi butiran peribadi dan rekod lokasi sistem penentu kedudukan global (GPS) masa nyata hampir 7.7 juta pengguna Waze di sebuah platform 'dark web', menurut firma keselamatan siber ClearPhish.
Data itu diiklankan untuk dijual di sebuah platform pasaran dark web atau web tertutup, dengan penjual mendakwa ia mengandungi maklumat sulit pengguna Waze, aplikasi navigasi milik Google.
Rekod yang didakwa bocor itu termasuk nama pengguna, nombor pengenalan unik pengguna (ID), sejarah perjalanan dan koordinat kedudukan GPS masa nyata.
"Kebocoran itu amat membimbangkan kerana boleh membolehkan penyerang menjejaki pengguna secara masa nyata, sekali gus mendedahkan mereka kepada ancaman keselamatan seperti pengintai maya serangan tertentu atau kecurian identiti," menurut laporan yang dikeluarkan pada Februari 2025 itu.








