Kuala Lumpur: Polis melumpuhkan kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai 'Geng Yunaa' yang terbabit dalam sindiket pelacuran dan pemerdagangan manusia menerusi satu operasi khas dinamakan 'Op Angel' di sekitar Lembah Klang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar S Muthuvelu berkata, kumpulan yang dianggotai 10 individu itu didapati aktif sejak awal tahun 2024 dan dikesan mampu menjana pendapatan haram mencecah RM5.4 juta setahun.

"Kumpulan jenayah terancang Geng Yunaa menjalankan kegiatan eksploitasi seksual melalui aktiviti pelacuran dengan merekrut remaja tempatan, warga asing serta kanak-kanak bawah umur yang dieksploitasi dan dijadikan mangsa pelacuran di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur," katanya dalam kenyataan, hari ini.