KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan mata wang utama lain pada Khamis apabila pelabur kekal berhati-hati menjelang mesyuarat dua hari Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS minggu depan.
Keadaan itu berlaku ketika hasil Perbendaharaan AS dan Indeks Dolar AS (DXY) mencatatkan penurunan.
Pada jam 6 petang, ringgit susut kepada 4.0815/0850 berbanding dolar AS daripada 4.0790/0825 ketika ditutup pada Rabu.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata penilaian semula peserta pasaran terhadap keputusan FOMC minggu depan mempengaruhi pergerakan DXY, dengan pedagang dijangka memberi tumpuan kepada kenyataan yang mengiringi keputusan mesyuarat itu bagi mendapatkan petunjuk mengenai kemungkinan kenaikan kadar faedah pada Disember.









