MADRID: Sebanyak 17 daripada 20 kelab dalam saingan LaLiga kini bersetuju mengehadkan harga tiket penyokong pasukan pelawat kepada maksimum 30 euro (RM141), selepas tiga lagi kelab menyertai inisiatif berkenaan.

Jurucakap LaLiga mengesahkan perkembangan itu kepada Reuters, sekali gus memperkukuh usaha memastikan penyokong yang mengikuti pasukan kesayangan mereka ke gelanggang lawan tidak dibebani harga tiket terlalu tinggi.

Perjanjian timbal balik itu mula diperkenalkan pada musim 2023-2024 dan turut menetapkan sekurang-kurangnya 300 tiket perlu disediakan untuk penyokong pasukan pelawat bagi setiap perlawanan.

Menurut data LaLiga, jualan tiket kepada penyokong pelawat meningkat purata 33 peratus bagi setiap perlawanan sejak pelaksanaan inisiatif berkenaan.