PETALING JAYA: Pengarah Urusan Skop Productions, Datuk Yusof Haslam berkata, pengecualian duti hiburan di Wilayah Persekutuan bermula tahun hadapan tidak bermaksud harga tiket wayang akan mengalami penurunan.
Yusof, 72, berkata kadar harga tiket wayang semasa di negara ini masih berada pada tahap yang relevan berbanding negara-negara jiran.
“Harga tiket wayang tetap sama. Bagi saya, harga sekarang sudah logik. Kita bukan lagi berada dalam zaman 30 tahun lalu. Sewaktu saya menghasilkan filem Sembilu, harga tiket baru RM4, tetapi gaji ketika itu sekitar RM1,000.
“Hari ini, gaji rata-rata sudah mencecah RM3,000 ke atas dan harga barang makanan juga meningkat. Dulu kos Sembilu hanya sekitar RM500,000 ke RM700,000, tetapi sekarang kos pembikinan filem sudah melambung tinggi. Apa yang diberikan kerajaan ini adalah bentuk keprihatinan terhadap industri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.









