Kuala Lumpur: Pangkalan data yang mengandungi lebih 7.6 juta rekod pengguna aplikasi navigasi Waze didakwa diiklankan untuk dijual di sebuah pasaran web gelap (dark web) oleh penjenayah siber.
Laporan syarikat teknologi keselamatan siber, ClearPhish, mendedahkan pangkalan data itu didakwa mengandungi maklumat sensitif pengguna, termasuk nama pengguna, pengecam pengguna unik (ID unik), data lokasi sistem kedudukan sejagat (GPS) dan sejarah perjalanan.
Menurut laporan itu, data berkenaan diiklankan untuk dijual oleh individu yang didakwa mencurinya, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan pengguna aplikasi berkenaan.
"Sekiranya kesahihan data dapat dibuktikan, maklumat itu berpotensi dieksploitasi untuk pelbagai tujuan berniat jahat, termasuk menghendap individu, mengenal pasti rutin perjalanan serta merancang serangan bersasar," menurut laporan itu.










