KUALA LUMPUR: Dua anggota polis yang mendakwa dicederakan Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain akan memfailkan saman sivil terhadap Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) itu secara peribadi tanpa membabitkan kerajaan sebagai defendan.

Peguam mereka, Kamal Hisham Ja'affar, berkata draf saman berkenaan sedang dimuktamadkan sebelum difailkan di mahkamah dalam tempoh tujuh hari.

"Saman sivil ini hanya akan difailkan terhadap Mohd Shuhaily secara peribadi dan tidak membabitkan kerajaan Malaysia sebagai defendan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, jumlah tuntutan ganti rugi bagi setiap anggota polis juga belum dapat ditentukan kerana pihaknya sedang menunggu laporan perubatan.