KUALA LUMPUR: Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) meneruskan komitmen memperkasa bidang pendidikan dengan membantu 180 pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pantai membuat persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melalui program Jejak Cemerlang.

Inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu dilaksanakan sejak 2015 selepas sekolah berkenaan menjadi sekolah angkat PERNAS pada 2012.

Sejak diperkenalkan, inisiatif itu menjadi sebahagian daripada usaha berterusan PERNAS dalam menyokong perkembangan akademik pelajar serta menyediakan peluang pembelajaran tambahan bagi membantu mereka mencapai keputusan peperiksaan yang lebih baik.

Ketua Pegawai Eksekutif PERNAS, Datuk Nor Azam M Taib, berkata menerusi program itu, pelajar mengikuti sesi bimbingan berfokus dan ulang kaji intensif bagi mata pelajaran utama, termasuk Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik, serta mata pelajaran SPM yang berkaitan.