KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) mengoptimumkan penggunaan 2,212 unit kuarters guru tidak berpenghuni menerusi pelbagai pendekatan sejak 2024, termasuk penukaran fungsi, penyewaan dan penggunaan bersama agensi kerajaan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, berkata inisiatif itu turut merangkumi penyewaan kepada pihak swasta, pindah milik kepada agensi berkaitan serta pelupusan kuarters yang tidak lagi selamat diduduki.
Beliau berkata, KPM mengalu-alukan kerjasama kementerian, agensi kerajaan dan pihak swasta untuk membincangkan penggunaan bersama kuarters berkenaan bagi mengoptimumkan kemudahan sedia ada.
"Sebagai contoh, ada kuarters sudah diubah suai untuk dijadikan bilik khas bagi kegunaan sekolah, termasuk bilik prasekolah, surau dan kemudahan bagi Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI)," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.










