PARIS – Lambakan barangan mewah berjenama yang dijual pada harga lelongan tidak masuk akal kini berlaku di tepi jalan beberapa bandar utama di Perancis.

Ia susulan siri rusuhan ganas dan pergolakan sivil berskala besar membantah kos sara hidup yang menyaksikan lebih 3,000 kedai dan butik eksklusif dimasuki, dirompak dan dirosakkan kumpulan perusuh.

Menerusi video yang tular di media sosial mendapati, kawasan kaki lima di bandar raya Paris dan Marseille bertukar menjadi pasaran gelap lambakan beg tangan, wangian, pakaian, dan aksesori tulen.

Antara jenama mewah yang menjadi mangsa rompakan termasuklah Louis Vuitton, Hermès, Celine, dan Burberry.