TOKYO: Maklumat peribadi kira-kira 125,000 rekod milik pegawai polis dan kakitangan di 22 wilayah di Jepun berisiko terdedah susulan insiden kebocoran data membabitkan syarikat perkhidmatan maklumat bencana, Arcadia.
Agensi Polis Kebangsaan Jepun memaklumkan perkara itu semalam, dengan insiden berkenaan berpotensi menjejaskan hampir separuh daripada keseluruhan 47 pasukan polis wilayah di negara itu.
Kebocoran tersebut berlaku ketika beberapa syarikat Jepun daripada pelbagai sektor turut berdepan insiden keselamatan data yang serupa sejak kebelakangan ini.
Data yang berkemungkinan terdedah merangkumi nama dan alamat e-mel pegawai polis serta kakitangan lain di 22 pasukan polis wilayah terbabit.










