GEORGE TOWN: “Saya harap individu yang terlibat dalam kejadian langgar lari sehingga mengakibatkan kematian rakan baik saya ditahan polis segera demi mendapatkan keadilan untuk mereka.”

Demikian luahan Muhammad Aqil Yusri, 22, rakan baik kepada Mohamad Nazhif Faris Mohd. Fauzi, 22, yang maut bersama seorang wanita berusia 20 tahun selepas motosikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan tidak dikenal pasti di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu di sini, awal pagi tadi.

Muhammad Aqil yang juga penuntut Universiti Kuala Lumpur Malaysian Spanish Institute (UniKL MSI) di Kulim, Kedah berkata, dia mengenali Mohamad Nazhif sejak empat tahun yang lalu ketika mereka sama-sama mengikuti pengajian di peringkat diploma di institusi berkenaan.