GEORGE TOWN – Dua rakan terdiri lelaki dan wanita dilaporkan maut apabila motosikal yang mereka tunggang dipercayai dirempuh dari arah belakang dalam kejadian langgar lari di susur masuk Jambatan Pulau Pinang di sini, awal pagi tadi.

Mangsa yang masing-masing berusia 22 dan 20 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, kira-kira pukul 4 pagi.

Kedua-dua mangsa dikatakan berasal dari Padang Serai di Kedah dan semasa kejadian mereka dalam perjalanan dari arah pusat bandar ke jambatan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya telah menerima panggilan berhubung kemalangan maut pada pukul 4.30 pagi tadi.