Georgetown: Pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dikaitkan dengan kemalangan meragut nyawa dua rakan di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, berhampiran susur ke Jambatan Pulau Pinang ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut tengah hari ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, lelaki berusia 23 tahun berasal dari Bukit Jambul itu hadir ke IPD berkenaan pada 1 tengah hari tadi.
"Ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek mendapati negatif dadah dan dia akan direman esok bagi siasatan lanjut," katanya di sini, hari ini.
Menurut Abdul Rozak, laporan bedah siasat di Jabatan Perubatan Forensik (Hospital Pulau Pinang (HPP) hari ini mendapati punca kematian bagi mangsa lelaki yang juga penunggang motosikal berkenaan adalah akibat cedera parah di kepala dan leher.










