KUALA LUMPUR: Aksi separuh akhir pertama Piala FA, malam esok bakal memberikan gambaran awal pasukan mana yang berpotensi untuk melangkah ke final.

Selangor akan melayan kunjungan Kuching City di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), manakala juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) pula berentap dengan DPMM FC di Stadium Negara Hassanal Bolkiah.

Berdasarkan prestasi empat pasukan itu sepanjang kempen musim ini termasuk dalam Liga Super, Selangor dan JDT boleh dianggap sebagai calon hangat untuk membentuk pertembungan menarik di pentas akhir.

Melihat kepada pertembungan antara Selangor dan Kuching City, skuad Gergasi Merah bukan sekadar mahu membuka langkah awal memburu tiket final, malah akan turun dengan misi untuk membalas dendam terhadap The Cats yang menyingkirkan mereka di separuh akhir Piala Malaysia musim lalu.