Melaka: "Jangan nanti bila sudah ditangkap, ketika itulah datang merayu meminta tolong." Amaran itu dikeluarkan Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar kepada calon, jentera parti dan penyokong supaya mematuhi undang-undang serta tidak melakukan kesalahan sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka nanti.

Beliau berkata, polis akan memantau setiap pergerakan sepanjang tempoh pilihan raya, termasuk menggunakan kamera litar tertutup (CCTV) dan dron bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terpelihara.

"Setiap pergerakan anda dipantau, kita nampak dan kita tahu. Di samping CCTV, kita juga ada dron. Jadi, setiap kesalahan itu memang tidak dapat dielakkan. Berwaspadalah," katanya ketika berucap pada Taklimat Sempena PRN Melaka ke-16 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di sini, hari ini.