Kuala Lumpur: Dua lelaki yang tular menerusi media sosial selepas merempuh kenderaan awam ketika cuba melarikan diri daripada polis di Bukit Antarabangsa, di sini didakwa di tiga mahkamah berasingan di Ampang hari ini atas pelbagai pertuduhan termasuk menghalang penjawat awam, memiliki senjata berbahaya dan dadah.
Pemandu peribadi Muhammad Putra Zulfaiz Zaidi, 32, dan mekanik Mohamad Danial Haiqal Kamal Arifin, 21, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Norshila Kamarudin serta Majistret Siti Nur Ain Ariffin dan Majistret Tiong Wen Wen.
Di hadapan Hakim Norshila, dua sahabat itu didakwa bersama-sama memiliki senjata berbahaya di tempat awam iaitu sebilah parang dan sabit tanpa tujuan yang sah di Jalan Wangsa 5, Bukit Antarabangsa pada 11 pagi, 11 Okt lepas.










