MELAKA: Polis menerima dua laporan berhubung dakwaan berunsur politik membabitkan parti DAP walaupun proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka belum bermula.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, berkata kedua-dua laporan itu dibuat pada 14 Oktober lalu oleh DAP susulan penyebaran dakwaan menerusi media sosial yang dikatakan menjejas reputasi parti berkenaan.

Beliau berkata, laporan pertama membabitkan satu hantaran di TikTok yang mendakwa DAP kononnya mencadangkan pembukaan semula Zon Bebas Kenderaan (CFZ).

Katanya, kandungan berkenaan menimbulkan rasa tidak puas hati apabila DAP didakwa seolah-olah mahu 'menutup periuk nasi' peniaga Melayu di kawasan bandar.