Petaling Jaya: Pemandu Porsche Cayenne yang tular kerana memandu secara melulu serta mengganggu pengguna jalan raya lain dihukum penjara lima hari, denda RM10,000 dan hilang kelayakan memandu selama lima tahun.

Peniaga dalam talian, Woo Hong Jiang, 56, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu dan berbahaya hingga membahayakan dirinya serta pengguna jalan raya lain.

Kejadian itu berlaku pada 2.14 petang, 18 Oktober lalu di laluan pintas Lebuhraya Puchong menghala ke Bukit Jalil, Serdang.

Pertuduhan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan itu membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM10,000.