KUALA LUMPUR: Malaysia memperkukuh kerjasama tenaga dengan Turkmenistan bagi membuka peluang komersial baharu untuk syarikat khususnya dalam perkhidmatan minyak dan gas bernilai tinggi, teknologi, serta kejuruteraan khusus, kata Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

"Syarikat kami bersedia untuk bekerjasama dengan rakan dari Turkmenistan bukan sekadar sebagai pembekal, malah sebagai rakan kerjasama jangka panjang yang komited terhadap penciptaan nilai tempatan," katanya semasa berucap pada sesi pleno pembukaan Persidangan dan Pameran Minyak dan Gas Turkmenistan (OGT 2026) di Ashgabat.

Menurut Kementerian Ekonomi dalam satu kenyataan hari ini, OGT 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula 21 Oktober itu menghimpunkan 20 syarikat perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) Malaysia termasuk PETRONAS.