GEORGE TOWN – Pemandu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang disyaki terlibat dalam kemalangan maut yang mengorbankan dua rakan di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu, susur masuk Jambatan Pulau Pinang di sini pagi tadi, menyerah diri di balai polis.

Lelaki tempatan berusia 23 tahun dan dari Bukit Jambul itu kemudiannya ditahan bagi membantu siasatan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, kira-kira pukul 1 tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap pemuda terbabit mendapati dia negatif dadah.

“Suspek akan direman esok pagi bagi membantu siasatan lanjut berhubung kejadian itu,” katanya di sini, hari ini.