KUALA LUMPUR: Pembangunan aplikasi tempatan berasaskan data pengangkutan awam terbuka untuk kegunaan orang ramai amat digalakkan, susulan larangan penggunaan aplikasi navigasi ‘Waze’ bagi penjawat awam yang berkuat kuasa semalam.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kementerian telah mengamalkan dasar data terbuka sejak beberapa tahun lalu, khususnya membabitkan data berkaitan pengangkutan awam.

“Dari segi data, kita lebih kepada data awam dan perkara ini memang sejak beberapa tahun lalu mengamalkan dasar data terbuka.

“Data terbuka dari segi jumlah penumpang, kekerapan, perjalanan tren dan sebagainya memang boleh diakses oleh mana-mana pihak yang mahu membina aplikasi,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Projek Pengindahan Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek di sini hari ini.