PETALING JAYA: Pemandu Porsche Cayenne hitam yang tular sebagai pembuli jalan raya dipenjara lima hari dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya, Ahad lalu.
Majistret Nur Natasya Mohtaruddin menjatuhkan hukuman itu selepas Woo Hong Jiang, 56, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya.
Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut selain hilang kelayakan memandu selama lima tahun.
Mengikut pertuduhan, dia sebagai pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Porsche Cayenne didakwa memandu secara berbahaya di Lebuhraya Puchong Bypass menghala ke Bukit Jalil pada pukul 2.14 petang, 18 Oktober lalu.










