KUALA PILAH – Seorang lelaki yang memandu kereta dalam keadaan berbahaya dipercayai menjadi punca kemalangan membabitkan tiga buah kereta dan dua motosikal di kilometer 25, Jalan Seremban-Kuala Pilah, di sini, hari ini.

Kejadian yang tular menerusi beberapa rakaman video di media sosial kira-kira pukul 7.45 pagi itu turut menyebabkan pemandu kereta jenis Honda City berusia 39 tahun berkenaan patah tangan kanan.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, siasatan awal mendapati lelaki terbabit sedang dalam perjalanan dari arah Kuala Pilah menuju ke Seremban sebelum melanggar bahagian belakang sebuah motosikal jenis Modenas Kriss.

“Pemandu berkenaan tidak memberhentikan kenderaannya, sebaliknya meneruskan perjalanan sebelum melanggar tembok jambatan di sebelah kiri jalan ketika melalui satu selekoh,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.